Musim durian kembali lagi. Aku bakal menyertai penduduk kampung mewakili rumah ku untuk menunggu durian. Kami bukannya berkebun durian tetapi durian tersebut ditanam di puncak sebuat bukit. Malam itu aku susah melelapkan mata. Maklumlah ini bakal pengalaman ku yang pertama.
Esoknya seawal 6.00 pagi aku sudah pun bersedia bersama yang lain berkumpul di balai raya. Masing - masing tersenyum dan ada yang masih menguap. Aku menganggapnya satu ekspedisi yang berlaku hanya 7 tahun sekali. Ya, lah. Durian di kampung ku hanya berbuah 7 tahun sekali. Bukannya seperti durian kacuk zaman sekarang yang berbuah setiap tahun. Aku membawa sebilah parang panjang untuk menebas dan membuka lauan yang perlu nanti. Di samping itu, aku turut membawa sebilah pisau tajam yang ku asah semalam.
Untuk bekalan pula, aku bawakan secupak beras, tempoyak, sambal belacan, setin sardin kecil dan timun kecil yang ku petik semalam di sawah. Atuk kata tak perlu membawa bekalan air kerana air buluh pun sudah mencukupi. Lagipun, kami akan melalui laluan air terjun. Biasalah, durian ditanam berhampiran laluan air.
Aku juga tidak lupa membawa bersama daun nipah kait untuk melindungi diri daripada hujan. Emak masukkan beberapa keping getah kering untuk memulakan unggun api malam nanti. Aku memeriksa lampu picit untuk memastikan bateri masih kuat.
Tepat 6.30 pagi bila semua ahli rombongan telah mencukupi, kami pun bertolak. Mula - mula laluannya luas dan mudah. Kami mula mendaki perlahan - lahan. Aku seperti biasa telah pun menyediakan tongkat kayu. Kasut getah ku beberapa kali terlucut apabila melalui lopak air yang dalam. Aku menyanyi kecil sambil menepis nyamuk yang sedap sahaja menyinggah.
Sedang kami mendaki, aku sempat meluahkan kelaparan ku pada atuk. Dengan jelingannya sekali atuk memberi amaran agar aku tidak menyebut lapar di dalam hutan. Dia juga melarang aku menyebut mana - mana haiwan buas yang terlintas di kepala ku.
Perjalanan terasa semakin mengujakan biar pun aku sudah kepenatan. Di kepala ku sudah terbayang betapa sedapnya durian - durian itu nanti. Atuk mendekati ku dan memberitahu akan bergerak lebih ke depan. Aku tersenyum. Atuk pasti akan sampai dahulu, percayalah.
Tiba - tiba, aku kekejangan betis. Aku lantas duduk dan meminta sepupu ku membetulkan kaki ku dengan meluruskan tapak kaki ku yang diangkat. Aku sudah biasa mengalaminya semasa sukan sekolah dulu. Maklumlah bekas pelari pecut. Perjalanan harus diteruskan kerana masih jauh dan kami tidak mahu berada di tengah - tengah hutan yang gelap gelita. Di puncak bukit nanti sudah ada pondok beratap nipah sebagai tapak khemah.
Akhirnya, kami selamat sampai ke tapak khemat di lewat petang. Seperti biasa, atuk sudah pun menyediakan unggun api di setiap hujung khemah untuk menghalau nyamuk. Aku melabuhkan punggung lega. Kemudian kami mencari minuman daripada pangkal buluh untuk diminum. Terdapat juga laluan air terjun tidak jauh daripada khemah kami. Di sekeliling khemah pula terdapat banyak gua besar mahu pun kecil, menuruni bukit. Susah untuk aku gambarkan dalam halaman ini. Tetapi aku puas hati menatap pemandangan ini.
Malam ini kami mengelilingi unggun api untuk memanaskan diri. Selesai makan, kami bermain meriam buluh. Ah! Seronoknya ku rasakan. Tiba masa pula untuk tidur. Aku memilih untuk tidur berdekatan atuk kerana sebenarnya aku ini penakut. Takut orang tu, biasalah, tapi paling aku takut sekali ialah kegelapan malam dan hantu. E....meremang bulu roma aku dibuatnya. Mana tahu, tiba - tiba angin kuat dan unggun api padam. Minta jauh,lah.